salam...
dah lama rasanya saya tak kongsi apa2 maklumat terbaru dalam blog saya yang satu nie....
saya baru terbaca dari blog saudara2 kita di laman sesawang dan saya sangat menggemari tajuknya... biarlah saya kongsi di sini agar semua dapat membaca... tQ
“Apa pandangan kak long?” saya bertanya seraya mengarahkan matanya ke satu foto di skrin komputer.
Di hadapan kami terpapar gambar seorang gadis dengan fesyen tudung terkini gadis remaja. Sengaja saya bertanyakan pandangan kak long tentangnya. Mana tahu, sedikit sebanyak dapat juga saya menyelami naluri berfesyen anak dara sulung saya ini.
“Hmmm…too stylish.” Ringkas jawapan kak long. Saya menganggukkan kepala, tersenyum dan kembali menatap foto gadis yang mengenakan turtle neck inner di sebelah dalam dengan lilitan tudung dari satin pada bahagian luarnya sebagai pelengkap.
Biarpun tudung yang disarungkan sudah menutupi bahagian dada, namun keseluruhan penampilan dan gaya yang ditunjukkan masih ada yang tidak kena.
“Lengan bajunya pada ummi agak ketat…”saya menambah. Kak long mengiyakan dengan sedikit kerutan di dahinya. Wajahnya agak tegang. Entah apa yang difikirkan.
“Kak long tak suka lengan baju ketat…susah nak ambil wuduk,” luah kak long, sekaligus menjawab persoalan saya tentang wajah seriusnya tadi.
Buat kesekian kalinya saya membalas kata-katanya dengan anggukan bertali. Membenarkan setiap patah yang dibicarakan. Bersyukur ke hadrat-NYA, kerana dalam menjejak usia 12 tahun, kak long telah dapat membezakan pakaian yang selayaknya dikenakan oleh seorang wanita.
Saya sering berbual-bual santai dengan anak-anak gadis saya, terutama kak long dan kak ngah, berkait pemakaian wanita muslimah.
Kedewasaan mereka seiring kemunculan pelbagai jenama fesyen hari ini, sedikit sebanyak memerlukan penjelasan dari semasa ke semasa agar pemilihan penampilan dan gaya tidak bercanggah dari kehendak Yang Maha Esa.
Biarpun, ada segelintir muslimah moden hari ini merasakan isu aurat dan yang berkait dengannya sebagai isu kecil, tetapi pada saya, selagi mana sesuatu perkara itu mengenengahkan hukum ALLAH SWT dan masalah-masalah yang berada di sekitarnya, selama itulah isu tersebut sangat perlu diambil perhatian walau berapa kali ia diulang penjelasan.
Ia peringatan, juga sebagai satu usaha nasihat menasihati yang sangat disarankan oleh Ar Rahman.
Firman-NYA dalam Surah Az-Zaariyat ayat 55 :
Maksudnya : “Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”
Tidak surut kebimbangan di jiwa saya sebagai seorang ibu bila melihat perkembangan dunia fesyen hari ini, termasuk pakaian yang berlabelkan busana muslimah. Aspek pemilihan material dan penentuan rekagaya ( design ), adalah dua perkara penting yang sangat perlu dititikberatkan.
Bukan sedikit busana muslimah yang diatasnamakan sebagai jubah di kedai atau butik pakaian, diperbuat dari kain ‘strechable’ serta ‘plain’ pula, menjadikan pemakainya cenderung menampakkan susuk tubuh terutama ketika berlaku pergerakan seperti berjalan dan lain-lain. Usahkan ditiup angin, tanpa bayu yang berhembus pun sudah boleh menyerlahkan lekuk-lekuk di badan. Tidak kurang juga busana muslimah yang dipakai betul-betul mengikut saiz badan menjadikan pakaian tersebut cukup sekadar membalut, bukan menutup kerana menonjolkan bentuk tubuh yang mengiurkan.
ANTARA KETAATAN, PERJUANGAN DAN TREND
Jujurnya, saya melihat perkembangan dunia fesyen busana Muslimah hari ini sudah semakin tersasar dari landasan yang benar.
Andai di era permulaan perintah hijab, ketika Rasulullah SAW masih bersama, para sahabiyat mengenakan pakaian menutup aurat sebagai manifestasi dari ketaatan mereka atas akujanji : Sami’na wa atho’na.
Keadaan ini terserlah dari tindakan mereka menarik apa sahaja yang tercapai dek tangan sebaik mendengar ayat hijab dibacakan oleh saudara-saudara lelaki mereka baik suami, abang atau ayah. Suasana ini terakam indah pada hadis Rasulullah SAW :
“Ketika kami bersama ‘Aisha RA, kami menyebut mengenai kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aisha menyampuk: “Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi ALLAH sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab ALLAH. Apabila ALLAH turunkan ayat (yang bermaksud) : ‘…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…’serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang ALLAH turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang diturunkan ALLAH, maka jadilah mereka wanita yang bertudung bersama Rasulullah SAW, seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka.” ( Hadis riwayat Abu Daud )
Sementara pada era 70-an dan 80-an di Malaysia, pakaian menutup aurat seakan menemui nafas baru dengan para muslimat yang berkesedaran memperjuangkannya walau ada di antara mereka berhadapan sindiran, ejekan dan perlecehan hingga dipanggil sebagai hantu pun ada. Namun itu semua tidak melunturkan semangat mereka untuk tetap tampil menutup aurat sempurna.
Akan tetapi, di era millennium ini, kala fesyen busana muslimah semakin mendapat tempat di kalangan wanita biasa, selebriti dan wanita ternama, rata-rata yang mengenakan tudung dan busana tersebut, kelihatan belum benar-benar memahami tuntutan sebenar dari kehendak ILAHI. Ia lebih mengikut 'trend' berbanding kesedaran untuk melangsaikan kewajiban.
Kerana itu, masih ramai yang bertudung tetapi memakai baju ketat dengan legging atau seluar sendat.
Akibatnya, keindahan wanita yang sepatutnya terlindung di sebalik hijab menjadi lebih mempesona dan membangkit ghairah lelaki yang rosak jiwanya untuk ‘menikmati’ dengan mata ‘luas terbuka’!
BUKAN MUDAH!
“Bukan mudah untuk orang perempuan menghadapi cabaran arus berfesyen hari ini, bang…” suatu ketika saya berkongsi rasa bersama suami tercinta. Sekadar meluahkan apa yang terbuku di dada.
Terkenang bait-bait emel yang dikirimkan oleh beberapa muslimah, bertanyakan tentang kecantikan pakaian-pakaian yang banyak dijual di pasaran. Tidakkah boleh mereka memakainya di luar? Sementelah mereka juga wanita bekerjaya. Penampilan adalah antara subjek penting untuk menambah keyakinan di alam pekerjaan.
Saya cuba menghayati ‘naluri’ wanita yang semestinya sentiasa menginginkan kecantikan membaluti diri. Melihat gaya semasa, dia mahu mencuba. Bila muncul ‘trend’ terkini, dia juga tidak mahu ketinggalan sama.
Biar ‘up-to-date’!
Masakan tidak. Melangkah sahaja keluar dari rumah, di jalan raya, di dalam bas, lif sehingga tiba di pejabat untuk bekerja, mata akan menangkap pelbagai fesyen dan gaya anggun mewarnai suasana. Sedikit sebanyak, rasa cemburu dengan penampilan serba indah orang lain mampu menggugah jiwa. Sukarnya untuk bertahan dan kekal dengan penampilan yang sudah tidak lagi menjadi pilihan ramai, sedangkan jika dibuat perbandingan, pakaiannya itu sudah menepati kehendak agama.
Memang tidak mudah melawan arus. Tersilap berpegang dan berpaut, diri akan hanyut…
“Mungkin ini salah satu yang dinyatakan sebagai sabar dalam mengerjakan ketaatan. Wanita yang benar-benar mahu mengenakan pakaian yang bertepatan kehendak syari’at semata-mata demi memenuhi tuntutan agama, kerana DIA semata, perlu mempertingkatkan kesabarannya supaya tidak mudah ‘tergoda’ dengan arus semasa yang bagai melambai-lambainya untuk turut serta….” Saya menambah.
Suami mengangguk-anggukkan kepala. Mungkin mengiyakan, mungkin juga sebagai satu tindakbalas untuk menenangkan. Sememangnya, bagai berkurang beban rasa, bila dapat meluahkan hal sebegini kepadanya.
FURQAN
Berbicara tentang hijab yang disyari’atkan ke atas wanita Muslimah, saya suka untuk berkongsi satu ayat cinta yang saya rasakan baik untuk kita semua bermuhasabah.
Firman ALLAH SWT :
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada ALLAH, nescaya DIA akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan ALLAH mempunyai kurnia yang besar.”( Surah Al-Anfal ayat 29 )
Setiap pilihan sikap, tindakan atau apa sahaja pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH. Di tengah-tengah kecelaruan dengan kemunculan pelbagai fesyen yang mengelirukan, antara putih atau hitam menjadi pilihan, hanya taqwa mampu menyinarkan kebenaran.
Lalu, andai satu saat disodorkan dua pilihan; antara kebaya dengan tudung tidak melepasi dada, dan baju kurung dengan tudung labuh pelengkap gaya, pasti furqan dalam jiwa muslimah bertaqwa membuat pilihan yang kedua!
Inilah jaminan ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA yang ikhlas dalam melaksanakan ketaatan.
Maka, dengan anugerah taqwa yang membuahkan ‘furqan’ pada individu muslimah inilah dia mampu berpegang teguh dengan prinsip, melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa dan tidak mudah goyah dengan apa jua hambatan dunia.
UMPAMA GULI
Hakikatnya, individu yang ‘terpesona’ dengan keindahan dunia sementara ini adalah seumpama dua biji guli yang diletakkan di hadapan mata. Ia kecil berbanding persekitaran luas yang berada di sekitarnya, tetapi jika diletakkan tepat -tepat di depan mata, pandangan akan terhalang. Kita tidak akan mampu lagi melihat persekitaran luas dengan bebas dan lepas.
Sebaliknya, jika guli tersebut dibawa menjauh dari mata, sedikit demi sedikit, kita akan mampu melihat apa yang ada di hadapan dengan jelas.
Pandangan mula bebas, terbuka luas!
Demikianlah dunia. Guli ini adalah 'simbol' dunia yang sangat ‘kecil’ berbanding akhirat. Ketika ramai Muslimah hari ini menempat dan mencintai dunia ini ‘terlalu dekat’ dan berlebihan, maka kepentingan akhirat yang jauh lebih besar, jauh lebih penting, jauh lebih berharga, jauh lebih utama, menjadi ter'tutup' kerananya.
Untuk itu, agar tidak terjebak ke dalam tipudaya dunia yang kecil ini, tempatkan ia pada kedudukan yang wajar sebagaimana firman-NYA :
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
Maksudnya : "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan ALLAH kepadamu dari (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana ALLAH telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan." ( Surah al Qasas ayat 77 )
BERIKAN KAMI FURQAN
Buat kesekian kalinya, saya ingin mengajak muslimah semua untuk memugar semula kefahaman kita tentang busana yang benar-benar patuh syari'ah. Selama mana kita masih mengikat hati dan tunduk dengan keinginan 'dunia wanita' dalam diri kita, selagi itu kita belum mampu 'membezakan' hijab yang syar'ie dengan yang sebaliknya.
Ia menutup, melindungi dan sekaligus menjadikan mata-mata yang memandang, terdorong melakukan ketaatan,bukan sebaliknya; menaikkan nafsu, memuntah rasa cemburu dan hasad yang merosakkan jiwa. Biar pun mungkin ia tidak dizahirkan secara lisan, tetapi ia memakan jiwa dalam sehingga lahirnya muslimah yang keliru dalam beragama.
Terlalu banyak design yang menarik di pasaran, tetapi sejauh mana keprihatinan kita untuk 'menghijrahkan' design yang menarik itu sesuai kehendak ILAHI, benar-benar melindungi tubuh sendiri dan bukan semata memenuhi keinginan peribadi atas nama agama yang suci ini.
Sebagai wanita, saya yakin, ramai yang sering teruja untuk 'meniru' gaya seseorang terutama selebriti dan tokoh ternama yang kelihatan cantik dan anggun dengan penampilan, pakaian dan tudungnya, tanpa lebih dulu bercermin dan 'jujur' melihat diri. Tidak semua gaya dan penampilan wanita lain yg cantik pada pandangan mata, akan turut cantik bila dikenakan ke atas diri sendiri.
Anda bukan Hana Tajima, anda juga bukan Ana Althafunnisa. Anda bukan sesiapa melainkan anda adalah diri anda sendiri. Justeru, kenali tubuhmu, mesrai naluri iman dalam jiwamu dan dari situ tentukan gayamu. Namun, jangan sesekali lupa, pastikan penampilan itu mendapat 'restu' Yang Esa...
Hindari ego diri, kerana yang mahu kita menangkan adalah reda ILAHI!
Wahai TUHAN kami, kurniakan kami furqan….
أَللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.