Solat Tiang Agama

Bicara


ShoutMix chat widget

Followers

Memilih Pasangan

Posted by nur iman Sunday, September 13, 2009

salam...memang saya akui susah untuk mencari pasangan yang ideal atau sesuai dengan diri kita. wlaubagaimanapun kita tidak boleh elak daripada berdepan dengan masalah ini atau lebih tepat kalau saya kata suatu perkahwinan. Setiap manusia dimuka bumi ini ingin rasa dicintai dan mencintai seseorang insan dalam hidupnya. Namun dalam beberapa keadaan sesetengah orang masih tidak mampu untuk merealisasikan impian mendirikan sebuah mahligai kerana menghadapi masalah mencari pasangan hidup yang memenuhi kriteria tertentu...

Marilah kita menyingkap sedikit sebanyak yang dapat saya masukkan semasa saya membaca beberapa artikel. Sebelum saya masukkan artikel mengenai memilih pasangan, rasanya lebih dahulu saya letakkan artikel berkenaan hukum mendirikan sebuah perkahwinan...

Artikel 1: Hukum perkahwinan

Takrif Nikah :

i) Dari segi bahasa : Ikatan atau simpulan.
ii) Dari segi istilah Syarak : Suatu Ikatan atau akad yang menghalalkan pergaulan dan membatas hak dan kewajipan serta bertolong-tolong di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang di antara keduanya bukan mahram.

Perkahwinan adalah merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dan digalakkan di dalam Islam serta dituntut oleh Hukum Syarak, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

" Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku ". ( Riwayat Ibnu Majah )

Dalil yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu dituntut oleh syarak adalah seperti berikut :

  • Dalil dari Al-Quran yang bermaksud :

    "Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil( di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja". ( Surah An - Nisaa' - Ayat 3 )

  • Dalil dari As-sunnah yang bermaksud:

    "Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng". ( Riwayat Muslim )


  • Dari Ijmak Ulama : Semua ulama sepakat mengatakan bahawa hukum perkahwinan itu adalah dituntut oleh Hukum Syarak.
Artikel 2: Enggan Berkahwin

Kahwin adalah Sunnah Rasulullah s.a.w. dan Sunnah para Nabi-nabi, dan fitrah yang sesuai dengan naluri manusia. Mereka yang tidak mahu berkahwin dan enggan berkahwin adalah bermakna mereka telah mensia-siakan hidupnya di dunia yang telah disediakan Allah untuk hambanya-Nya menikmati segala pengurniaan-Nya.

Islam adalah melarang ummahnya hidup membujang - tanpa berkahwin dengan tujuan untuk menjauhkan diri dari menikmati kesedapan berkelamin dan kesenangan hidup didunia serta mengelakkan diri dari menikmati kegembiraan berkeluarga dan tidak mahu mempunyai keturunan.

Dalam Islam berkahwin adalah merupakan suatu perkara yang digalakkan, kerana dengan perkahwinan itu akan berkembang biak ummah Nabi Muhammad s.a.w., dimana baginda adalah merasa bangga dan bergembira dengan sebab banyak ummatnya. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadithnya yang diriwayatkan daripada Sa'ad bin Abi Waqqas :

"Berkahwinlah kamu Maka sesungguhnya aku dihari qiamat kelak akan bergembira dengan sebab banyak ummahku. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang - orang Nasrani bertapa - hidup membujang".

Mereka yang enggan berkahwin, Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadith dari Anas bin Malik, katanya : Tiga orang sahabat datang berkunjung ke rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. menanyakan tentang 'ibadat yang dikerjakan oleh Baginda. Setelah tiga orang sahabat tadi mendapat jawapan dari isteri-isteri Baginda, mereka merasa bahawa 'ibadat mereka itu bila dibandingkan dengan ibadat Rasullah s.a.w. adalah terlalu sedikit dan sangat-sangat "kurang."

Mereka berkata sesamanya: "Bagaimana 'ibadat kita? Padahal Baginda adalah orang yang ma'shum - tidak sedikit pun mempunyai dosa, dan Allah telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang?. "Maka salah seorang dari mereka itu berkata: "Aku akan sembahyang Tahajjud setiap malam." Dan seorang yang lain akan berkata:"Aku akan berpuasa sepanjang tahun, dan tidak akan berbuka." Dan seorang yang lain lagi berkata: "Aku akan mengasingkan diri dari orang perempuan, dan aku tidak akan berkahwin selama-lamanya (hidup membujang)" Maka datang Rasulullah s.a.w., lalu bersabda:

Kamu semua berkata begitu? Ingat dan ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang yang sangat takut terhadap Allah, dan sangat taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadang-kadang aku (tidak berpuasa), dan aku sembahyang, dan aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah pengikutku (bukan dari kalangan ummahku). (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mereka yang enggan berkahwin (hidup membujang) seumur hidupnya, padahal mereka mampu menunaikan tanggungjawab terhadap isterinya zahir dan batin, maka bermakna mereka telah mengharamkan sesuatu perkara yang halal ke atas diri mereka, dan mereka itu adalah juga orang yang menentang hukum Allah dari Sunnah Rasul-Nya.

Dalam masalah ini, at-Tabari berkata: "Sahabat Rasulullah s.a.w bernama 'Uthman bin Maz'un mengharamkan ke atas dirinya seorang perempuan, benda-benda yang baik dan semua benda yang sedap dan lazat. Dengan pengharaman tersebut, Allah Ta'ala menurunkan firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (Surah al- Ma'iddah:87)

Sehubungan dengan ini, diriwayatkan dari Ibnu 'Abbas:

Seorang lelaki mengadu dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai orang yang membujang (tidak berkahwin) selama-lamanya, katanya: " Bolehkah aku berkasi?" Baginda menjawab dengan sabdanya:

Tidak ada dalam agama kita orang yang berkasi. (Riwayat Tabrani)

Dalam masalah ini, Sa'ad bin Waqqas berkata:

Rasulullah s.a.w. telah melarang sahabatnya 'Uthman bin Maz'un hidup membujang (tanpa berkahwin). Andainya Baginda mengizinkan 'Uthman bin Maz'un membujang (tanpa berkahwin), tenteulah kita "harus" berkasi. (Riwayat Bukhari)

dipetik daripada:http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/munakahat/nikah2.htm




Artikel 3: Hukum Berkahwin dan Fadhilatnya


Menurut Saidina Abbas r.a, bahawa tidak sempurna ibadat seseorang kecuali apabila ia sudah berkahwin. Persoalannya adakah kahwin itu suatu ibadat?


Saidina Abbas lebih cenderung untuk meletakkan perkahwinan itu sendiri merupakan suatu ibadat, ataupun ia dikira sebagai suatu kesempurnaan bagi perlaksanaan ibadah.


Yang dimaksudkan oleh Saidina Abbas iaitu tidak tenang hati seorang hendak beribadat kepada Allah SWT kerana dorongan syahwat yang telah ditakdirkan kepada keturunan Adam, kecuali setelah ia berkahwin. Walaupun seseorang itu kuat melakukan ibadat, seorang tok lebai yang baik budi pekertinya dan berakhlak mulia, namun ia terpaksa mengakui keperluan yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT dari segi nafsu syahwat, maka kedudukannya sebagai tok lebai itu belum boleh menjadi suatu jaminan melainkan ia kembali ke fitrahnya yang semula jadi itu untuk berkahwin.


Lebih-lebih lagi di zaman yang penuh pancaroba; buka jendela di pagi hari, sudah lihat perkara-perkara yang boleh mengoda perasaannya. Sedangkan di zaman Saidina Abbas r.a itu pun beliau telah merasakan tidak selamat tanpa berkahwin, betapa pula di zaman sekarang yang begitu banyak pendedahan perkara-perkara yang membangkitkan keinginan seseorang terhadap syahwat.
Oleh yang demikian perkahwinan menjadi suatu perkara yang sangat mustahak kerana ia akan menjadi perisai kepada keimanan.


Tidak sempurna suatu ibadat kecuali ia dilakukan dengan kelapangan hati. Kelapangan dan ketenangan hati akan lebih mudah dicapai setelah Seseorang itu menempuh perkahwinan. Jika seseorang itu memerlukan makan minum dan pakaian serta tempat tinggal bagi menjaga kepentingan fizikal, demikian juga nafsu syahwat yang Allah kurniakan itu juga memerlukan penyelesaian. Jika itu tidak dilakukan maka pastilah ketenangan hati sukar dicapai.


Pernah Saidina Abbas r.a menghimpunkan anak-anak lelakinya yang masing-masing telah remaja, lalu beliau berkata kepada anak-anak remajanya itu:
"Wahai anak-anakku, jika kamu semua telah mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka beritahulah kepada ku, Insya
Allah aku akan berusaha untuk mengahwinkan kamu., Kerana apabila seseorang manusia telah melakukan zina maka ketika itu Allah SWT cabut iman mereka dari hatinya."


Keimanan adalah suatu hidayah kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya. Sekiranya iman itu telah dicabut lantaran hamba tersebut melakukan zina maka tidak mudah Ia hendak dibina kembali atau diperolehi semula. Kerana perbuatan zina itu adalah perbuatan orang yang fasik dan zalim yang tidak mendapat hidayah dari Allah SWT.


Demikian beberapa pendapat dan pandangan seorang sahabat Rasulullah SAW tentang perkahwinan dan keperluannya. Sesungguhnya banyak keterangan di dalam al-Quran tentang adab-adab nikah, dengan adanya ayat-ayat yang mendorong ke arah perkahwinan itu. Terdapat begitu banyak kisah para nabi-nabi yang menjelaskan kehidupan mereka bersama isteri-isteri serta mempunyai anak dan cucu.
Terdapat di dalam ungkapan dan doa para nabi yang bermohon kepada Allah SWT semoga Allah SWT mengurniakan kepada mereka anak-anak dan cucu sebagai seuatu yang menjadi tenang mata memandang (Qurrota Aaayun). Doa-doa tersebut membuktikan bahawa nabi-nabi atau orang yang soleh melakukan perkahwinan.


Rasulullah juga menjelaskan di dalam hadithnya yang bermaksudkan: "Sekiranya kamu mempunyai anak-anak perempuan yang sudah remaja, lalu datang seseorang yang datang meminang, jika kamu dapati laki-laki yang masuk meminang itu baik akhlaknya, agamanya dan sebagainya, maka segeralah kamu menikahkannya."


Hadith tersebut membayangkan ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk menikahkan anak-anak perempuan mereka yang remaja, kerana untuk menjaga kebajikan anak-anak remaja itu dan melindunginyadengan perkahwinan itu agar ia terselamat dan terjerumus ke lembah perzinaan yang membawa kepada keruntuhan akhlak dan iman.

dipetik daripada:http://www.pengantin.com.my/v1/index.php/component/content/article/2-perkahwinan-mengikut-islam/6-hukum-berkahwin-dan-fadhilatnya



Artikel 4: memilih pasangan hidup


Perkahwinan dianggap dasar kepada pembentukan sebuah keluarga, masyarakat dan negara. Maka pemilihan pasangan hidup menjadi sangat penting dan kritikal. Selalu kita dengar dan lihat sebuah rumahtangga hancur berderai walaupun baru didirikan. Mungkin ada tembelang yang pecah, lalu meledak dan meranapkan sebuah perkahwinan.


Terdapat beberapa pendapat tentang jodoh. Apa yang penting bagi kita adalah usaha dan tawakal kepadaNya. Rujuklah kepada garis panduan yang telah diberikan. Semoga kita selamat dan mendapat berkat. Insyaallah.


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Seorang wanita dikahwini kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, kerana dia akan dapat menuntun tanganmu".
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain disebutkan yang ertinya:
".......... Beruntunglah orang yang memilih kerana agamanya, kerana ia akan dapat menuntun tanganmu".


Kita semua mengetahui bahawa harta benda akan musnah. Kecantikan juga akan pudar bila dimamah usia, bila diserang penyakit atau kemalangan. Pangkat dan keturunan tidak kekal selamanya. Cuma ilmu dan ketaatan pada agama akan terus menjadi amalan sepanjang hayat.


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Kamu jangan berkahwin dengan seorang perempuan kerana kecantikannya, kerana kecantikan akan memusnahkan dirinya. Jangan kamu berkahwin dengan perempuan kerana kekayaannya kerana kekayaan akan membuat derhaka. Kahwinlah dengan perempuan kerana agamanya. Sesungguhnya bahawa seorang perempuan pesuruh yang baik pengamalan agamanya adalah lebih baik dikahwini, sekalipun berkulit hitam dan cuping telinganya berlubang besar".


Meminang
Apabila seseorang laki-laki berhasrat untuk berkahwin , adalah digalakkan beliau mempelajari dan mengetahui akan sifat wanita solehah. Kerana yang demikian dapat membantu dalam membuat pilihan bakal isterinya.


Sebelum Meminang
Tidak menjadi kesalahan bila seorang laki-laki ingin mengenal pasti keadaan jasmani wanita (bakal isteri). Adakah dia sihat atau punya penyakit, kecacatan, gemuk atau kurusnya, putih atau hitamnya dan bagaimana raut wajahnya. Untuk keperluan ini semua, seorang laki-laki yang betul-betul berazam untuk memperisteri seorang wanita dibenarkan melihat wanita yang dimaksud. Melihat di kala itu adalah darurah.


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Jika seseorang di antara kamu meminang seorang perempuan, maka tidak mengapa baginya (tidak berdosa) melihat sesuatu dari perempuan tersebut, apabila melihatnya memang keperluan untuk meminang, sekalipun dia tidak mengetahui". (H.Riwayat Iman Ahmad)
Walaupun melihat bakal isteri dibolehkan, tidak bererti boleh melihat dengan sesuka hatinya hingga melanggar ketetapan syarak. Ia tertakluk kepada beberapa syarat:
  • Mesti disaksikan oleh salah seorang muhrim siwanita. Tidak boleh berdua-duaan saling pandang memandang.
  • Melihat wanita yang akan dipinang hanyalah setakat wajah dan tapak tangannya saja.
  • Dengan melihat pada tapak tangannya dapat diketahui apakah wanita itu berbadan besar segar atau tidak, halus atau kasar. Dengan melihat pada wajahnya dapat diketahui apakah wanita itu cantik atau tidak. Cuma itu saja dapat dilihat.
Dalam hadis lain disebutkan: Ertinya:
"Apabila seseorang di antara kamu meminang perempuan, jika ia dapat melihat apa yang menarik sehingga ingin mengahwininya, lakukanlah itu". (H.R.Ahmad dan Abu Daud)
Melihat wajah wanita dan telapak tangannya dapat dilakukan sendiri oleh lelaki yang akan meminang dengan syarat seperti di atas.Hal-hal lain seperti tutur kata, akhlak dan hal-hal lain yang perlu tentunya susah dilakukan oleh lelaki. Dalam hal-hal ini dia boleh mengutus wanita dari kalangan keluarganya untuk merisiknya. Wanita yang dipercaya itu akan bergaul dan mengenali calon isteri dari dekat dan seterusnya dapat memberitahukan pada pihak laki-laki apa-apa
maklumat yang diinginkannya.


Syarat-syarat Wanita Yang Dipinang
a. Bukan Pinangan Orang Lain
Meminang wanita yang telah dipinang oleh laki-laki lain hukumnya haram di sisi syarak. Kerana yang demikian itu dapat merosakkan persaudaraan dan menyakitkan hati orang lain.
Rasulullah s.a.w. bersabda: Ertinya:
"Seseorang laki-laki tidak boleh meminang wanita yang telah dipinang oleh saudaranya (orang lain sesama muslim) sebeulum laki-laki yang meminang terdahulu meninggalkannya (telah putus hubungan pertunangan), atau tunangan terdahulu itu mengizinkannya". (H.R. Bukhari)
Apabila diketahui bahawa tunangan terdahulu sudah jelas tidak menghendakinya lagi, atau sudah putus hubungan pertunangan, maka lelaki lain boleh meminang tanpa izinnya.
b. Bukan Wanita Yang Ditalak Tiga Oleh Dirinya
Lelaki yang telah mentalak tiga terhadap isterinya, dia tidak boleh meminang lagi bekas isterinya, sehinggalah wanita tersebut telah bertahallul (dikahwin oleh laki-laki lain kemudian dicerai setelah disetubuhi). Apabila masa iddahnya telah habis maka bekas suami pertama boleh meminangnya semula.
c. Bukan Pada Masa Iddah
Tidak boleh (haram) meminang wanita yang sedang iddah bukan darinya. Tetapi bila wanita sedang iddah bukan talak raj'iy seorang laki-laki boleh meminangnya dengan cara ta'ridh (sindiran). Jadi tidak boleh meminang secara berterus terang. Contoh pinangan degnan ta'ridh adahal; "Engkau lawa' atau "Ramai orang yang sukakan engkau' dan lain-lain. Talak Raj'iy ialah talak satu atau dua, jadi masih ada kemungkinan bagi sisuami merujuk isterinya semula. Wanita
yang ditalak raj'iy tidak boleh dipinang secara ta'ridh apa lagi secara terang-terangan (tasrih). Merahsiakan Pinangan Pinangan sebaiknya dirahsiakan dari diketahui oleh orang ramai, gunanya untuk mengelak sesuatu yang tidak diinginkan. Hal ini untuk menjaga kehormatan siwanita itu sendiri seandainya suatu hari kelak pertunangan itu putus atau untuk mengelakkan fitnah-fitnah yang lain.


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
"Umumkan perkahwinan dan rahsiakan pertunangan".

dipetik daripada: http://www.pengantin.com.my/v1/index.php/component/content/article/2-perkahwinan-mengikut-islam/7-memilih-pasangan

0 comments

mY BurF_dAtE