Solat Tiang Agama

Bicara


ShoutMix chat widget

Followers

Aurat Vs Kecantikan

Posted by nur iman Thursday, August 27, 2009

Setiap kaum hawa pastinya ingin bergaya dan mencantikkan diri. Tapi tahukah kita batas-batas aurat dalam mengekalkan kecantikan dalam diri kaum hawa... Terdapat sedikit maklumat mengenai soal jawab dan keraguan kaum hawa dalam menjadikan personaliti diri lebih anggun dan menawan seiring dengan menjaga aurat kaum hawa.Disamping kita bergaya kita masih tidak lari dari menjaga aurat diri sebagai kaum wanita muslimah sejati.InsyaAllah...


Soal Jawab

Soalan 1:
Saya ingin bertanyakan tentang aurat wanita di dalam dan di luar sembahyang. Ada orang berkata dalam sembahyang semua anggota harus ditutup melainkan muka dan kaki harus ditutup barangkali dengan stokin. Di luar sembahyang, wanita harus menutup rambutnya dengan tudung. Ada yang menyatakan leher juga harus ditutup seperti rambut ditutup.

Rahmah Mohamed
Jalan Tenteram

Jawapan:
Aurat kaun wanita yang sudah baligh ialah seluruh badannya kecuali muka dan tapak tangan. Sama ada di dalam sembahyang atau di luar sembahyang. Yang dimaksudkan dengan ertikata tangan di sini ialah tapak tangan termasuk belakangnya hingga ke pergelangan.

Adapun auratnya di hadapan lelaki mahramnya atau wanita-wanita Islam ialah antara pusat dan lutut jika tidak ada fitnah yang timbul manakala di hadapan wanita-wanita kafir ialah seluruh badan kecuali apa yang biasa terdedah ketika membuat sesuatu kerja, umpamanya menyinsing lengan hingga ke siku atau kain hingga ke atas sedikit buku lali. Tidak ada aurat antara suami isteri. Rambut, leher dan tengkok termasuk aurat yang mesti ditutup.

Soalan 2:
Salahkah di sisi Islam jika seseorang wanita mencantikkan paras mukanya melalui pembedahan plastik, seperti meninggikan hidung dan membetulkan pipi.


Jawapan:
Mencatikkan paras muka dengan cara yang halal dan untuk tujuan kebaikan tidaklah terlarang dalam Islam.

Cara halal umpamanya memakai bedak atau bau-bauan yang wangi atau mendandan rambut dan sebagainya. Dan tujuan yang baik pula tidak lain adalah untuk suami sendiri.
Adapun melakukan pembedahan untuk memancungkan hidung atau membetulkan pipi dan sebagainya adalah terlarang dan haram hukumnya kerana ia termasuk dalam ertikata mengubah bentuk asal yang telah diberikan oleh Allah s.w.t.
Larangan ini difahamkan oleh para ulama daripada firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa' ayat 118 yang menerangkan bahawa salah satu daripada galakan syaitan kepada manusia ialah mengubah ciptaan Allah.
Dalam hubungan ini juga Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
- Allah mengutuk wanita-wanita yang membuat tatu (mencacah badan dengan bentuk gambar dan sebagainya) dan orang yang minta dibuatkan untuknya. Perempuan-perempuan tukang cabut bulu kening dan yang minta dicabutkan dan perempuan-perempuan yang mengasah gigi untuk kecantikan, mereka ini mengubah ciptaan Allah. (Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu riwayat lain pula ditambah satu lagi golongan iaitu tukang sambung rambut dan yang minta disambungkan.
Adapun membuat sesuatu yang tidak mengubah kejadian asal umpamanya mendandan rambut atau mencantikkan bulu kening dengan membersihkannya sedikit tidaklah terlarang.
Begitu pula membuatnya kerana menghilangkan kecacatan yang berlaku bykan semulajadi, umpamanya kulit yang terbakar atau terkopek kerana sesuatu kejadian, maka pembedahan haruslah dilakukan kerana ini termasuk dalam ertikata berubat. Nabi s.a.w. pernah membenarkan hidung yang terpotong semasa peperangan, ruas jari yang putus dan gigi yang gugur supaya diganti walau dengan emas sekalipun.

Soalan 3:
Rambut saya telah banyak yang putih. Untuk kelihatan cantik saya gunakan pewarna untuk menghitamkannya. Apakah hukumnya perbuatan itu? Sahkah sembahyang saya dan sahkah mandi junub yang saya kerjakan?


Mariam Rik
MacPherson Estate

Jawapan:
Menghitamkan rambut yang putih bagi orang yang sudah sampai umur tua iaitu 40 tahun ke atas, adalah haram. Kecuali untuk tujuan jihad iaitu berperang pada jalan Allah bagi menggerunkan pihak musuh dengan memperlihatkan diri sebagai orang muda.

Selain daripada tujuan itu perbuatan itu tidaklah harus, kerana dengan menghitamkan rambut, ada semacam tujuan untuk mengabui mata orang yang melihatnya atau ingin menipu tentang umurnya yang sudah tua.
Adapun orang yang di bawah umur 40 tahun harus baginya menghitamkan rambutnya yang telah putih itu kerana ia memang masih muda dan tidak ada unsur penipuan di situ.
Adapun mengubah warna dengan yang lain daripada warna hitam adalah harus. Kerana biasanya seseorang itu tidak akan mengubah warna rambutnya melainkan setelah putih.
Dalam satu peristiwa pada hari pembukaan Kota Makkah, Abu Quhafah ayah Saiyidina Abu Bakar, datang berjumpa Nabi s.a.w. sedang rambut dan janggutnya seperti kabu-kabu, maka Baginda bersabda yang bermaksud: "Ubahkan ini (warna rambutnya) dan elakkan warna hitam" (Riwayat Muslim)
Dalam soal sembahyang, jika pewarna yang digunakan itu tidak najis, sahlah sembahyang itu. Tentang mandi junub pula jika pewarna itu tidak menahan sampainya air ke rambut dan tidak pula mengubah warna airnya, sahlah mandi junub itu.

Soalan 4:
Bolehkah orang-orang Islam memakai inai? Adakah memakai inai merupakan sesuatu yang merosakkan solat kita?


Siti Atikah
Marine Drive

Jawapan:
Memakai inai bagi kaum wanita adalah harus. Adapun bagi kaum lelaki tidak harus kerana perbuatan itu menyerupai kaum wanita. Kaum lelaki boleh memakai inai di rambut, kepala atau jambang dan janggut.

Memakai inai tidak merosakkan solat dan wudhuk kita kerana warnanya tidak mengubah warna air dan tidak menahan air daripada sampai ke anggota kita.


:dipetik dari Anda Bertanya Saya Menjawab (Kemusykilan Agama) susunan Syed Abdillah Ahmad Jufri::
dirujuk dari: http://www.mail-archive.com/mymasjid@mbnpp.net.my/msg47356.html

0 comments

mY BurF_dAtE